KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) meminta semua bakal haji musim 1444H/2023M untuk segera menjawab surat tawaran haji yang dikeluarkan kepada 31,600 jemaah bermula 22 Mac lalu.

Pengarah Eksekutif (Haji) TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata bakal haji tahun ini perlu memberikan jawapan sama ada setuju atau tidak, dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

"Bakal jemaah haji boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat turun aplikasi ThiJARI untuk menyemak serta menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam masa yang sama, Syed Salleh berkata semua bakal haji terpilih perlu mencukupkan wang dalam akaun Tabung Haji mengikut bayaran haji yang tertera dalam surat tawaran.

Selain itu, bakal jemaah haji juga katanua perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan Tabung Haji berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan.

“Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di hospital ataupun klinik-klinik kerajaan dan swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperolehi visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, semua bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran," tambah Syed Saleh.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.